December 5, 2013

The Team, The Leader, The Experience

        Dalam mana-mana MRSM, kami ada satu organisasi yang mana ahlinya dipilih melalui sistem pilihanraya. Ya, lebih kurang seperti Pilihanraya umum yang diadakan di Malaysia. Mungkin sistem ini kelihatan lebih elit dan banyak khasiatnya (tetiba), namun segalanya diadakan secara simple tetapi gaya kerjanya maha berat.

        Di sekolah menengah biasa pun, organisasi seperti juga wujud namun sistemnya tidak sama. Kalau di sekolah menengah biasa, ahli organisasi seperti ini tidak dipilih melalui pilihanraya, tak ada manifesto, tidak ada pengundian, tidak ada rasuah dan penindasan dan sebagainya. Apa aku mengarut ni?

        Makanya di MRSM Pasir Berdengung, untuk sesi 2012/2013 aku antara ahli yang dilantik dan diundi oleh pelajar-pelajar dalam sistem pilihanraya yang adil dan telus. Aku menganggap ini peluang aku untuk menimba pengalaman sebagai pemimpin yang baik. Tiada kezaliman, tiada rasuah dan penindasan. Sekali lagi aku mengarut. Maaf.

         Bila dah dilantik ni, tanggungjawabnya sangat besar. Guru menjaga kami, dan kami menjaga keamanan di sini. Kami sentiasa sibuk dengan jadual nak siap homeworknya, program yang maha banyak. Namun, bak kata pepatah orang tua-tua Sungai Siput, alah biasa tegal bisa. Maka, semua yang biasa dianggap bisa oleh kami sepanjang setahun menjalankan tugas.

         Namun, pelbagai ujian terpaksa sedia kami tempuhi. Bila berdepan dengan kawan-kawan, adab perlu dijaga. Nak kentut tak boleh sebarangan tempat. Nak buang air, kena pastikan tak ada orang disekeliling. Apatah lagi nak terlibat dalam kes-kes disiplin. 

         Ujiannya juga banyak dan sangat berat. Banyak tomahan akan dikenakan ke atas kita. Orang tak suka lah, orang kata sombong lah, orang kata poyo lah. Kengkadang junior-junior yang belum akil baligh pun akan mula mengumpat tentang kami. Maklumlah, kanak-kanak. Tapi tu semua pengalaman yang perlu kami timba tanpa perlu dacing dan sebagainya. 

         Nak dijadikan cerita, bencinya orang terhadap aku ketika itu sampai ada suatu masa, ada orang letak telur kat atas kerusi aku dalam kelas. Makanya, petang lepas perhimpunan, aku terduduk kat atas kerusi yang ada telur tu. Pecah ranah semua. Malu tak malu, aku berlari tak ada cover balik ke asrama.

         Tu belum masuk cerita conteng nama kat meja di bilik seminar, tweet unmentioned bagai. Tapi itu semua dah tertulis. Kawan-kawan yang lain juga ada terima tomahan sedemikian, namun kami mampu tersenyum dan menafikan dakwaan itu. 

         Cuma, semuanya adalah pengalaman ketika dikeji, ketika jatuh, bangun dan ditomah. Ramai juga kawan yang memahami. Contohnya macam room mate aku, Haziq Syazani@Hambaruddin. Selalu belanja aku nasi lemak masa rehat, nasihatkan aku. Dan dialah kawan aku ketika senang dan susah. 

         Ada masanya, aku terlampau tension sampai aku taknak tegur sesiapa. Hati sedih beb, kena kutuk selalu. Kesedihan tu terubat bila Haziq dalam urut kepala lutut gua, sampai satu time gua menangis kat dia pasal ada orang umpat gua. Dia lah yang selalu lepak dengan gua.

Just, bila semuanya dah selesai, kami dah letak jawatan, kami menarik lafaz lega yang maha panjang. Tersenyum kegirangan sebab segalanya selesai. Tak ada penghinaan lagi sebab pimpinan kami. Tapi, semuanya akan kami kenang lepas kami keluar dari maktab dan mulakan perjalanan sebagai insan biasa yang penuh cabaran di bumi fatamorgana ni.

          Semuanya mencabar bila kita jadi seorang pemimpin. Mana-mana pimpinan pun akan merasakan pengalaman yang sama. Sebab apa yang kita pegang ni satu amanah. Imam Ghazali kata, benda yang paling berat dalam dunia ni adalah amanah. Bawak sampai ke mati, gheti?

             Hail The Leader ! 

 

          

No comments:

Post a Comment

Pantun

Anak monyet panjat pokok kelapa,

Selamat datang dan jumpa lagi.